Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran.
Amanah merupakan suatu sifat yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Amanah merupakan salah satu sifat wajib bagi rasul. Betapa peri pentingnya amanah, apabila ianya disia-siakan, maka kesannya amat besar hingga boleh membawa kepada kehancuran, samada terhadap individu, keluarga, organisasi, bahkan kepada negara.
Amanah berasal daripada perkataan Arab, amana, yang bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam konteks akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Amanah dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang dipercayai dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan amanahnya itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya tenteram, aman, selamat dan harmoni. (sumber)
Orang yang menerima amanah memahami akan tanggungjawab yang diberikan kepadanya, serta menyedari akan balasan yang akan Allah berikan kepada samada jika dia memenuhi tuntutan amanah tersebut, serta menginsafi balasan jika mengkhiantinya.
Manusia perlu menyedari bahawa semua orang bertanggungjawab dan memikul amanah dimana sekecil-kecil taklifan adalah terhadap dirinya sendiri. Dia diberikan amanah oleh Yang Mencipta untuk mengurus dirinya sendiri. Dia yang menggerakkan kakinya kemana yang ingin dituju, dia yang mengerakkan tangannya untuk mengambil dan melakukan sesuatu. Dia juga yang membuka mulutnya untuk berkata-kata dan dialah yang mengetahui perasaan dalam hatinya samada membeci atau menyukai sesuatu.
Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya.
Pemimpin negara merupakan contoh teladan kepada rakyat. Mereka perlu menyedari bahawa setiap perbuatan mereka akan menjadi ikutan samada baik atau buruk. Jika baik tingkahnya, maka dia juga akan mendapat saham di atas kebaikan yang dilakukan oleh orang yang mencontohinya.
Namun kebelakangan ini, kerap kali didengari akan ungkapan-ungkapan yang mengungkit jasa dikalangan pemimpin. Ungkapan sebegini kemungkin bertujuan meraih sokongan politik.
Pemimpin perlu memahami dan mampu membezakan antara tanggungjawab dan jasa. Sudah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk membantu rakyat bawahan yang dipimpin olehnya. Maka janganlah kerana tanggungjawab itu, mereka menungkitnya pula.
Perbuatan ini sama seperti yang ditunjukkan oleh Firaun kepada nabi Musa.
“Bukankah kami telah mengasuhmu di antara (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu,” “dan kamu telah berbuat suatu perbuatan yang telah kamu lakukan itu dan kamu termasuk golongan orang-orang yang tidak membalas guna.” (As-Syuara’: 18-19)
Di sini, saya mengingatkan diri saya dan pemimpin rakyat khususnya, janganlah suka mengungkit jasa yang telah ditabur, kerana ia sememangnya tanggungjawab kita. Apakah kita tidak malu jika kita mengungkit-ungkit amalan ibadah yang kita lakukan dihadapan Allah? Sesungguhnya nikmat Allah tidak terhitung berbanding amalan kita.
Perhatikanlah lirik lagu di bawah, sebagai pesanan kepada kita.
Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya
Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada
Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya
Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya
Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya








