wm.azmi

August 28, 2008

Perlukah Akta DNA di Malaysia?

Filed under: General,Human Right — wan muhamad azmi mamat @ 6:47 pm

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar telah membentangkan Rang Undang-Undang DNA di parlimen pada 26 Ogos 2008. Beliau menyebut tujuan rang undang-undang tersebut ialah antara lain, bertujuan untuk membolehkan penubuhan Bank Data DNA Forensik Malaysia, mengambil dan menyimpan sampel DNA, menganalisis sampel DNA dan menggunakannya untuk tujuan kemanusiaan.

Selanjutnya beliau juga menyatakan bahawa Rang Undang-Undang DNA 2008 atau Akta Identifikasi DNA itu akan memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya, untuk mendapatkan, memperoleh sampel-sampel DNA daripada mana-mana suspek yang mempunyai kaitan langsung dengan sesuatu kes jenayah yang disiasat selain untuk dijadikan bahan rujukan bagi tujuan menyelesaikan sesuatu kes di masa akan datang.

Rang undang-undang itu yang dibahagikan kepada enam Bahagian dan mengandungi 27 Fasal turut memperincikan tatacara pengambilan, penyimpanan dan pelupusan sampel intim dan bukan intim dan penghapusan profil DNA dan apa-apa maklumat berhubung dengannya.

Sila klik di sini untuk membaca sepenuhnya Rang Undang-Undang tersebut.

Sekiranya Rang Undang-Undang DNA ini diluluskan, ia pasti akan membawa kesan yang ketara dalam urusan keselamatan di Malaysia. Banyak negara maju telah melaksanakan akta DNA bagi tujuan keselamatan seperti UK, US, Kanada dan Itali.

Media melaporkan bahawa dengan adanya bank data DNA, banyak kes jenayah dapat diselesaikan. Ada juga media yang melaporkan bahawa kewujudan bank data DNA hanya berjaya menyelesaikan masalah pada kadar yang kecil.

Analisis forensik DNA merupakan salah satu kaedah dalam menentukan identiti seseorang. Terdapat banyak lagi kaedah lain yang digunakan dalam menentukan identiti seseorang melalui kaedah biometrik seperti penggunaan cap jari, data anak mata (iris), dan data daripada gigi.

Kaedah mengenalpasti muka suspek jenayah banyak diaplikasikan di tempat-tempat sensitif seperti di lapangan terbang dan di persempadanan negara. Namun saya kurang pasti sejauh mana penggunaan teknologi ini di Malaysia.

Berbalik kepada isu pengenalan Akta DNA 2008 di Malaysia, kebanyakan rakyat Malaysia melihat perkara ini dari sudut politik, kerana kebetulan isu yang hangat di tanahair ialah kes liwat Anwar Ibrahim. Sememangnya orang pasti akan tertanya kenapa Akta ini dibentangkan pada masa ini dalam keadaan isu liwat ini timbul. Perdana Menteri ada mengatakan bahawa perkara ini telah lama dikaji cuma tidak dibentangkan, tetapi saya tidak pernah mendengar atau membaca apa-apa berita berkaitan dengan Rang Undang-Undang DNA sebelum ini.

Sepertimana yang dinayatakan oleh Menteri Dalam Negeri, ‘jika anda melihat semuanya secara negatif, anda akan melihat semua perkara buruk’ ada kebenarannya. Saya tidak menafikan akta ini akan memberi kebaikan jika pelaksanaannya adalah amanah, adil dan telus.

Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah, mengapa ketua dan timbalan ketua bank data DNA forensik Malaysia dilantik dikalangan polis seperti dalam fasal 7, bukannya dikalangan ahli kimia atau pakar perubatan? Walaupun ada pegawai dikalangan ahli kimia dan pegawai daripada jabatan kimia yang dilantik sebagai pegawai bank data, namun ketua yang berhak menentukan dan menguruskan data dalam bank tersebut.

Saya bukannya tidak bersetuju sepenuhnya, sebaliknya adalah lebih wajar ketua bank data DNA dilantik dikalangan orang yang pakar dalam urusan tersebut. Sebaliknya pihak polis perlu merujuk kepada pihak berkenaan dalam mendapatkan maklumat yang berkaitan dalam sebarang kes yang disiasat.

Namun ada beberapa perkara yang melibatkan etika dalam pengendalian untuk mendapat data DNA. Sebagai contoh, fasal 13 perkara 7 menyatakan:

Seseorang pegawai polis boleh menggunakan segala cara yang perlu bagi maksud mengambil atau membantu dalam pengambilan suatu sampel bukan intim daripada seseorang.

Saya amat tidak gemar bahasa perundangan, kerana penggunaan bahasa atau istilah amat penting, kerana ia boleh membawa maksud yang berbeza dalam konteks yang berbeza. Fasal 13 perkara 7 seperti di atas, seolah-olah membenarkan pegawai polis melakukan apa sahaja bagi mendapatkan sampel. Ia bermaksud, ‘segala cara’ ini termasuk penipuan, keganasan, perkara yang menjatuhkan moral dan maruah dan lain-lain selain prosedur yang biasa.

Keadaan ini seolah-olah melanggar hak asasi manusia untuk tidak memberikan sebarang maklumat peribadi tanpa keperluan, atau sekurang-kurangnya dengan jaminan keselamatan dan kerahsiaan. Walaupun fasal 20 yang melarang penggunaan data ini selain untuk tujuan akta tersebut dan fasal 21 yang menghendaki ketua, timbalan ketua dan pegawai bank data DNA merahsiakan maklumat, saya tetap tidak bersetuju dengan penggunaan kekerasan dan yang melanggar hak asasi manusia dalam akta ini. Oleh itu, fasal 13 perkara 7 ini perlu dipehalusi dengan menghapuskan atau menukar perkataan ‘segala cara’ tersebut.

Selain itu, saya kurang bersetuju dengan fasal 24 yang terkandung dalam bahagian 6 yang menyatakan bahawa maklumat daripada bank data DNA sebagai bukti muktamad dalam apa-apa prosiding mahkamah. Sewajarnya bukti-bukti lain juga perlu dirujuk terlebih dahulu dalam menentukan kesalahan suspek. Maklumat daripada bank data DNA hanya perlu dirujuk dalam perkara berkaitan menentusahkan indentiti seseorang, dan sebagai kaedah terakhir.

Fasal 25 memberikan kekebalan kepada Menteri, Ketua, Timbalan Ketua, pegawai lain Bank Data DNA, seseorang pegawai perubatan kerajaan dan seseorang ahli kimia yang menjalankan apa-apa kuasa, fungsi dan tanggungjawab di bawah Akta yang dicadangkan daripada apa-apa tindakan, guaman atau pendakwaan jika perbuatan itu dilakukan dengan suci hati.

Saya amat tidak bersetuju dengan fasal 25 di atas. Kenapakah mereka dalam fasal 25, (a), (b), (c), (d), (e) dan (f) diberikan pengecualian dan kekebalan daripada tindakan undang-undang jika mereka melakukan kesilapan? Adakah ini boleh disifatkan sebagai keadilan kepada semua pihak? Apakah kecuaian boleh dianggap sebagai suatu yang boleh dimaafkan dalam perkara kritikal seperti ini? Apakah kesalahan mengubah atau memanipulasi data juga boleh dimaafkan dan dikecualikan daripada tindakan hukuman? Atau perkara kecuaian dan penipuan ini adalah suatu perbuatan yang dilakukan dengan suci hati?

Setiap yang melakukan kesalahan mesti bertanggungjawab, dan sekiranya dibuktikan bersalah dia perlu menerima hukuman tanpa mengira latarbelakang. Sekiranya manusia berdosa dengan Tuhan, Tuhan akan menghukumnya. Jika dia bertaubat, Tuhan boleh ampunkannya dan hapuskan hukuman terhadapnya. Namun jika manusia membuat kesalahan terhadap manusia, kesalahan itu hanya boleh dimaafkan oleh manusia tersebut.

Perlukan Rang Undang-Undang DNA ini diperkenalkan di Malaysia? Apakah tujuan sebenarnya akta ini perlu diperkenalkan? Apakah ia akan membawa kebaikan? Apakah ia akan menyelesaikan masalah yang dihadapi? Apakah masalah jenayah akan selesai?

Dimanakah punca masalahnya? Kenalpasti punca masalah baru boleh cari jalan penyelesaian. Adakah punca masalah ialah hati manusia, dan manusia bermasalah dengan Tuhan?

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: