wm.azmi

September 3, 2009

Kekuatan Menegakkan Kebenaran

Filed under: Religious,Siasah — wan muhamad azmi mamat @ 3:42 pm

“Kekuatan adalah cara yang paling selamat untuk menegakkan kebenaran. Alangkah baiknya jika kekuatan dan kebenaran berjalan seiringan.”

Demikian kata hikmah yang menyebut tentang kebenaran dan kekuatan. Kekuatan merupakan suatu keperluan yang utama dalam menegakkan kebenaran. Tanpa kekuatan, kebenaran akan mudah dikalahkan oleh kebatilan.

Hijrah RasulAllah dan para muhajirin dari bumi Makkah ke Madinah merupakan suatu contoh untuk meletakkan diri kepada keadaan yang lebih baik. Umat Islam sentiasa berada dalam tekanan ketika di Makkah dengan ancaman pemualaun, seksa dan bunuh. Di Madinah, keselamatan umat Islam lebih terjamin di bawah pemerintahan RasulAllah sebagai ketua Negara di samping menjaga hak-hak kaum-kaum bukan Islam yang lain.

Dengan adanya pusat pemerintahan, empayar Islam semakin berkembang ke seluruh jazirah Arab seterusnya berkembang di Utara Afrika, ke Asia Tengah dank Eropah.

Setelah kewafatan RasulAllah, timbul golongan yang tidak mahu membayar zakat dan golongan nabi palsu. Abu Bakar yang menjadi khalifah ketika itu telah bersungguh-sungguh menghapuskan golongan tersebut demi menjaga tuntutan syariat Islam. Beliau mengarahkan agar golongan riddah (keluar dari Islam) itu diperangi hingga mereka kembali kepada Islam atau di bunuh jika mereka enggan.

Penguatkuasaan syariat Islam perlu dijalankan oleh pemerintah yang berkuasa. Perkara ini dijelaskan oleh RasulAllah dalam urusan mencegah kemungkaran, yang bermula dengan kaedah menggunakan ‘tangan’ yang bermaksud kekuasaan.

“Barangsiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, jika tidak mampu maka cegahlah dengan lidahnya, jika tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.”

Dalam hadis yang lain, RasulAllah bertegas untuk tidak membiarkan kejahatan tanpa sebarang tindakan.

“Demi Allah, saya tidak akan biarkan satu kejahatan berlaku kecuali saya akan mencegahnya.”

Namun, dasar syariat Islam yang adil tidak berubah dengan bertukarnya pemerintah. Perintah untuk berlaku adil telah disuruh oleh Allah dalam FirmanNya dan mesti dilaksanakan oleh semua pemimpin.

“… Maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (al-Hujurat, 49 : 9 )

Kebenaran dan keindahan sistem Islam yang selari dengan fitrah manusia telah menyentuh banyak jiwa untuk berpegang kepada Islam. Pernah berlaku peristiwa pertelingkahan di antara saidina Ali dan seorang yahudi yang mendakwa baju besi perang. Mereka bersetuju untuk di bawa kepada pengadilan Islam.

Hakim memutuskan baju besi tersebut milik yahudi itu kerana Ali gagal membawa bukti dan saksi kepada hakim. Orang yahudi tersebut tersentuh hati dengan keadilan Islam, dan mengaku bahawa baju besi itu adalah kepunyaan Ali, lalu memeluk Islam.

Syariat Islam yang benar tidak akan terjamin jika umat Islam tidak memiliki kuasa. Keadaan ini berlaku kepada minoriti umat Islam yang tinggal di negara majoriti bukan Islam. Bahkan di sesetengah tempat, keselamatan mereka terancam walaupun dalam urusan ibadah fardhu seperti solat Jumaat.

Di negara majoriti umat Islam, kebenaran dan kesyumulan Islam masih belum terjamin apabila pemerintah tidak melaksanakan tuntutan syariat atau hanya melaksanakan sebahagian sahaja.

Turki sebagai contoh merupakan negara yang masih tebal dengan elemen sekular yang dipelopori Kamal Attarturk walaupun pemerintahnya bernama Muslim. Bahkan banyak negara majoriti umat Islam hari ini masih belum melaksanakan tuntutan syariat Islam dengan sepenuhnya.

Sistem pendidikan hari ini lebih mengutamakan pencapaian di atas kertas dengan meminggirkan pembinaan sahsiah mulia. Semua pengguna hari ini seperti tidak dapat lari daripada kuman riba yang telah sebati dalam sistem ekonomi. Gejala rasuah berleluasa samada peringkat bawahan mahupun atasan dalam politik mahupun ekonomi.

Sistem sosial masyarakat huru-hara dengan kepincangan rumahtangga, gejala negatif di institusi pendidikan, kebejatan virus materialstik dan hedonisme serta meluasnya pendirian individualistik dan tidak cakna.

Isu arak yang timbul di Selangor dan hukuman sebat kepada model sambilan merupakan isu tempatan yang menjadi polemik dan masalah akibat tiadanya peruntukkan undang-udang dalam perkara ini. Tiada undang-udang mengenai rampasan arak dan hukumannya, bahkan penguatkuasaan terhadap undang-undang sedia ada juga tidak bersungguh-sungguh.

Tiada juga undang-undang sebatan pernah dijalankan menurut hukuman kesalahan takzir atau hudud. Maka timbullah masalah tiada tukang sebat yang bertauliah. Padahal undang-udang tersebut belum lengkap atau dalam erti kata lain tidak menyamai hukum asal kesalahan minum arak iaitu tidak lebih dari 80 kali sebatan dan tidak kurang dari 40 kali sebatan.

Maksud hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali,

 “Rasulullah s.a.w telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulaullah s.a.w. dan inilah yang paling akau suka”.

Dalam sudut yang lain, isu ini sewajarnya memaksa ulama-ulama, mufti-mufti dan cendiakawan dalam urusan berkaiatan memikirkan dan menetapkan prosedur yang perlu berdasarkan syariat Islam, seterusnya diputuskan sebagai undang-undang.

Masalah ini mungkin telah membuka minda pelbagai pihak untuk melihat keadilan Islam, atau mencari peluang memperlekehkan Islam atau menjadi modal buah mulut politik, dan yang pasti ada juga yang tidak berbuat apa-apa.

Terlalu banyak penyakit sosial dalam masyarakat timbul kerana keadilan Islam tidak diperkasakan dengan kekuatan. Allah sebagai pencipta makhluk telah memberikan formula untuk mengatasi pelbagai masalah ciptaanNya melalui pedoman al-Quran dan as-Sunnah, namun manusia tidak mahu mengambilnya.

Dalam urusan menjaga keselamatan umat Islam dan memastikan syariat Islam terlaksana, maka tanggungjawab utama terletak pada bahu pemerintah yang berkuasa.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: