wm.azmi

October 20, 2009

Fatwa Imam Nawawi Yang Menggemparkan

Filed under: Religious,Siasah — wan muhamad azmi mamat @ 11:43 am

Imam Nawawi selama hidupnya telah banyak menulis dan mengarang, mengajar dan menasihat. Kegiatannya dalam bidang ini meletakkan peribadinya lebih terkemuka dan lebih dikagumi; terkemuka kerana kebenarannya, dikagumi kerana kejujurannya.

Beliau dalam tugasnya sebagai seorang ‘ulamā’ tidak membataskan ajaran dan nasihat dalam lingkungan para pengikutnya atau terhad dalam ruangan majlis pengajarannya sahaja, tetapi meliputi keseluruhan masyrakat.

Sedang pandangan hidupnya pun tidak saja ditumpukan di sekitar pengajaran agama, tetapi ditinjaukan ke arah masyarakat. Sebab Islam baginya adalah menyeluruhi atau meliputi segala segi kehidupan. Islam menurut falsafahnya adalah seluruh hidup, tidak bercerai dan berpisah dari hidup.


Kerana ini, beliau selalu menyampaikan nasihat secara peribadi dan menulis beberapa pucuk surat kepada baginda sultan al-Mālik al-Zāhir yang berdaulat ketika itu untuk menasihati baginda dalam urusan masyrakat kaum muslimin seluruhnya demi kepentingan Negara.

Menurut riwayat, beliau pernah menulis kepada baginda menerangkan keadaan (suasana) negeri Syam pada masa itu, yang olehnya disifatkan sebagai amat mengancam keselamatan rakyat akibat kesempitan kehidupan dan melambung tinggi harga barang-barang keperluan.

Di samping itu diterangkannya padangan dan pendapatnya secara ikhlas untuk segera bertindak bagi mengatasi keadaan itu. Tetapi amat disayangi! Tulisannya yang ikhlas itu tidak dinilai baginda, malah dipandangnya beliau seorang ‘ulamā’ yang suka mencampuri urusannya dan kerana itu beliau dianggap seorang yang tidak diingini.

Sikap baginda itu tidak mencemaskan beliau kerana hidupnya tidak mengharapkan sebarang kurnia dari baginda. Apa yang akan terjadi akibat fatwanya adalah kerana sudah sewajarnya, kerana kebenaran dengan kebatilan adalah dua hal yang bertentangan.

Tidak berapa lama kemudian, beliau menulis pula sepucuk surat kepada baginda, yang berisi kata-kata yang keras tetapi tegas. Surat ini bertalian dengan permintaan baginda mengenai fatwa bagaimana hukumannya mengambil harta rakyat untuk kepentingan Negara yang sedang terancam oleh musuh.

Fatwa Imam Nawawi yang menggemparkan

Menurut riwayat bahawa apabila baginda sultan al-Mālik al-Zāhir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Mongol) lalu digunakanlah fatwa ‘ulamā’ yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh.

‘Ulamā’ fiqh negeri Syam telah menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang hati kalau Imām Nawawī tidak memberi fatwanya. Lalu baginda bertitah “Masih adakah lagi orang lain”. “Masih ada, al-Syaikh Muhyidīn al-Nawawī” – demikian jawapan yang disampaikan kepada baginda.

Kemudian baginda menjemput Imām Nawawī dan meminta beliau memberi fatwanya bersama ‘ulamā’ fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu memberi fatwanya dan enggan.

Baginda bertanya: “Apakah sebabnya beliau enggan?” Lalu beliau memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan sikapnya dan keengganannya memfatwakan sama seperti fatwa para ‘ulamā’.

Beliau dalam penjelasan kepada baginda menerangkan seperti berikut!

“Ampun tuanku! Adalah patik sememangnya mengetahui dengan sesunguhnya bahawasanya tuanku adalah dahulunya seorang tawanan yang tidak ada sebarang harta benda. Tetapi pertolongan Allah telah dilimpahkan kurniaNya kepada tuanku dengan menjadikan tuanku seorang raja.

“Ampun tuanku! Adalah patik telah mendengar bahawasanya tuanku ada memiliki seribu orang hamba, tiap-tiap seorang ada mempunyai beberapa ketul emas. Manakala dua ratus orang khadam wanita milik tuanku, masing-masing mempunyai barang-barang perhiasan yang bernilai.

Andaikata tuanku sendirian membelanjakan kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka patik bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan tuanku mengambil harta rak’yat.

Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenar baginda mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda al-Mālik al-Zāhir murka kepadanya kerana fatwanya yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik.

Imām Nawawī terima saja perintah pengusirannya itu dengan riang hati. Lalu beliau pun keluar ke Nawa. Para ‘ulamā’ Syam telah berusaha menjemput beliau balik semula ke Damsyik, tetapi beliau enggan sambil berkata: “Saya tidak akan balik ke Damsyik selama baginda masih berkuasa.”

Kisah ini memberikan kita suatu gambaran yang jelas tentang keberanian jiwa seorang ‘ulamā’ yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan dan tidak rela mengorbankan kebenaran hukum untuk kepentingan seorang dengan merugikan orang ramai.

Keberanian Imām Nawawī menegakkan suatu kebenaran adalah sebaik-baik contoh kepada ‘ulamā’, di mana mereka dikehendaki untuk mengatakan sesuatu yang benar menurut hukum walau kepada sesiapa pun juga dan mereka tidak boleh bersifat pengecut dan pengkhianat kebenaran semata-mata dipengaruhi seribu satu macam kebimbangan dan ketakutan.

Umat Islam kini memerlukan ‘ulamā’ yang berjiwa besar seperti Imām Nawawī dan kita berharap semoga ada hendaknya mereka itu dalam kalangan masyarakat Islam untuk kebaikan agama dan umat.

Sumber: Hadis Empat Puluh, Susunan Imam Muhyidin Abu Zakariyya Yahya bin Sharif al-Nawawi, terjemahan dan Syarahnya oleh al-Ustadh Mustafa ‘Abdul Rahman, Dewan Pustaka Fajar, 2008, muka surat: 45-47.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: