wm.azmi

December 22, 2009

Wakil Rakyat Yang Tidak Bersama Rakyat

Filed under: Siasah — wan muhamad azmi mamat @ 2:13 pm

Saidina Umar pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya: “Jika aku telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin-pemimpin membantuku, apakah aku telah melaksanakan amanah kepimpinan ini?” Shabat-sahabatnya menjawab: “Sudah tentu, wahai Amirul Mukminin…” Sebaliknya Umar menjawab: “Belum. Sehingga aku memastikan orang baik itu melaksanakan kebaikannya!”

Bagaimana barisan kepimpinan kita? Sudahkah dilantik orang yang  baik? Itu pun sudah terlalu sukar. Dan sudahkah orang yang baik itu melaksanakan kebaikannya? Hal yang kedua ini jauh lebih sukar.

Parti-parti politik perlu lebih ketat untuk menyaring bagi mendapat calon-calon terbaik mereka kerana kita tidak boleh mengharap rakyat berbuat demikian. Ini kerana kecenderungan masyarakat memilih wakil rakyat mereka berdasarkan parti yang mereka yakini, bukannya calon yang terlibat.

Krediliti calon lebih disandarkan kepada kredibiliti parti. Ini masalahnya. Ini akan memberi ruang yang cukup besar kepada “wakil rakyat yang tidak bersama rakyat” ini mendapat kedudukan dalam parti, walaupun mereka tidak langsung berada di hati. Jadi apa yang mereka lakukan hanyalah berbuat sesuatu agar tetap mendapat “perhatian” beberapa orang berkuasa dalam parti ataupun wakil-wakil bahagian untuk terus mendapat pencalonan sebagai calon ADUN atau MP.

Inilah juga salah satu sebab yang memungkinkan berlakunya “politik wang” dan gejala rasuah. Bagi mereka yang “busuk” ini, adalah lebih mudah menggunakan wang untuk mempengaruhi individu-individu dalam parti daripada bekerja keras untuk berkhidmat kepada masyarakat. Apabila menang pilihanraya, mereka mengaut untuk melalui kedudukan MP atau ADUN. Kemudian wang itu “dilaburkan” sedikit untuk mendapat sokongan berterusan dalam parti.

Kemudian mereka tercalon lagi. Dan mengaut untung, lalu menabur lagi…

Begitulah sifir mudah politik wang. Kedudukan dalam parti bukan dilihat sebagai amanah untuk berbakti tetapi sebagai pelaburan yang menguntungkan peribadi. Bagi mereka, parti mungkin dilihat sebagai entiti perdagangan yang mana kuasa telah digunakan untuk menjana harta.

Rakyat berada nun jauh di sana… poster wajah calon yang ditampal pada musim-musim pilihanraya bukan “wajah” calon itu yang sebenar. Rakyat hanya mengenal dacing, bulan dan lain-lain. Pada mereka itu sudah sinonim dengan kemakmuran, keislaman, keadilan yang kerap dilaung-laungkan. Tidak kiralah siapa orangnya, asalkan baik partinya. Betul juga, kalau hanya calonnya baik tetapi partinya tidak baik, mana mungkin jentera pembangunan setempat dengan pembangunan?

Pemimpin mesti memikirkan bagaimana untuk memberi berbanding untuk mendapat. Apabila kita berfikir bagaimana untuk memberi, fokus kita ialah peranan bukan ganjaran. Malangnya, ramai yang berfikir secara songsang – apa yang difokuskan bukan peranan tetapi ganjaran. Jika kita hanya berfikir tentang ganjaran, maka ini akan menyebabkan kita mengabaikan peranan. Sebaliknya, apabila seseorang pemimpin fokusnya pada peranan, maka ganjaran akan datang dengan sendirinya.

Allah tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang ikhlas. Jika hakikat ini masih diragui, apakah layak kita menjadi pemimpin?

Sumber: Majalah Solusi isu #14, m/s 3.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

Blog at WordPress.com.