Semua IPTA Akan Mempunyai Akademi IT Menerusi Kerjasama Dengan Microsoft, Kata Khaled
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini akan mempunyai Akademi Teknologi Maklumat (IT) mulai tahun depan bagi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan kompetitif dalam bidang itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata Akademi IT perlu ditubuhkan kerana ilmu asas dalam kurikulum IPTA berkenaan IT hari ini tidak mencukupi jika dibandingkan dengan perubahan IT yang terlalu mendadak dalam pasaran dunia.